Sunday, May 19, 2013

POKOK BERINGIN - KEGUNAANYA

Pokok Beringin (Ficus benyamina Linn) merupakan sejenis pokok saka yang memiliki ketinggian sekitar 20 - 25 meter dari aras tanah. Pokok ini sering kita jumpa ditepi jalan, dikawasan taman bunga, dipinggir kampung dan hutan dinegara kita. Beberapa nama synomim pokok beringin seperti Ficus microcarpa, Ficus nitida dan juga Ficus retusa. Pokok ini adalah dari keluarga Moraceae dan ia mempunyai batang yang tumbuh menegak, berbentuk bulat dengan permukaan kulit kayu yang kasar. Pada bahagian bawah pokok atau batang beringin selalunya akan keluar akar gantung atau dinamakan sebagai akar udara (Lihat foto diatas). Pohon beringin juga disebut sebagai pokok ‘Waringin’ pada masyarakat Jawa di Indonesia, Weeping Fig (English) dan Chinese Banyan (China). Pokok beringin saya dapati memang mempunyai bentuk daun tunggal dengan tangkai daun yang pendek dan mempunyai susunan bersilang berhadapan (Alternate arrangement). Daunnya berbentuk oval atau ovate dengan hujung daun yang tajam (accuminate) serta permukaan lai daun atas agak berkilat. Bunganya beringin adalah tunggal dengan saiz kecil yang lazimnya akan keluar dari ketiak daun. Buah beringin adalah kecil berbentuk bulat dengan ukuran 0.5 - 1.0 cm yang berwarna hijau ketika muda dan menjadi warna merah apabila matang. setiap buah mempunyai satu biji ditengahnya yang keras, berbentuk bulat dan seakan putih warnanya.  Artikel malam Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok beringin dan kegunaannya.

Pohon beringin mempunyai batang dan akar yang amat kuat serta kukuh dengan kanopi yang besar (Lihat foto sebelah). Pokok Beringin tidak tumbuh menegak ke atas seperti pokok besar lain tetapi cara pertumbuhanya adalah melebar, mengembang dan sering kita jumpa ia kembali menjuntai kebawah. Banyak rujukkan menyatakan pokok beringin adalah natif di Malaysia dan Indonesia. Pokok yang rendang ini memberikan teduhan kepada kita dan ada yang mendakwa pokok ini selalu menjernihkan mata air yang ada di kawasan sekitarnya. Kini pokok beringin telah ditanam untuk beberapa tujuan seperti untuk Landskap, Pokok Teduhan, Bonsai dan juga untuk penghasilan kayu balak. Beberapa laporan menyatakan yang pokok beringin memiliki kemampuan sebagai tanaman pemuliharaan (conservation tree) dimana jika ada mata air ia membersihkannnya terutama jika ia tumbuh dilereng bukit secara semulajadi. Akar pokok ini adalah dari jenis akar yang dalam dimana akar lateral mampu mencengkam tanah dengan baik dan kurangkan kesan hakisan tebing tanah. Terdapat beberapa jenis beringin yang memang diketahui sebagai rumah atau habitat sesuai bagi beberapa jenis burung, reptilia, serangga dan mamalia yang makan buahnya.  Siapa yang tanam pokok beringin secara tidak langsung meningkatkan pemuliharaan (conservation) terhadap ekologi fauna yang menjadikan beringin sebagai tempat kehidupan banyak hidupan. 

Beringin merupakan tumbuhan dimana ia mempunyai daya tahan hidup serta mudah menyesesuaikan dengan keadaan alam persekitaran dimana ia tumbuh.  Selain itu jika ia berada pada kawasan hutan maka kita boleh kata yang ia boleh dijadikan satu indikator yang pengurusan hutan tersebut dijaga dengan baik. Beringin juga merupakan tanaman hutan yang memiliki umur yang sangat panjang sehingga direkodkan hingga ratusan tahun. Banyak pokok beringin yang tumbuh dihutan terus subur walau pun umurnya beratus-ratus tahun jika kawasan keliling tidak diganggu. Pokok ini juga jarang-jarang diserang penyakit yang serius. Pohon beringin selalu dikaitkan dengan kepercayaan lama yang mengkaitkan dengan alam  mistik di kawasan nusantara termasuk di Malaysia. Ini kerana ramai orang yang akan menganggap pookok ini besar dan juga ada yang anggap ia sebagai pokok suci. Sesetengah pokok beringin dijadikan tempat pemujaan atau ada kuil atau tempat untuk menjalankan perkara-perkara khurafat bagi orang Islam.  

Pembiakan pokok beringin boleh menggunakan biji benih dari buah beringin yang matang dan disemai atau pun kini dengan kaedah keratan batang. Potong 10 -15 cm dahan pucuk beringin dengan pisau tajam dan buang daunnya separuh dan masukkan dalam bekas berisi air atau cucuk diatas tanah pasir bercampur tanah yang lembap (Lihat foto sebelah). Keratan yang dimasukan kedalam bekas mengandungi air perlu ditukar air setiap minggu dan letakkan ditepi tingkap dimana akar akan keluar selepas 2 minggu. Anakbenih yang sesuai saiznya boleh ditanam dikawasan keliling rumah dan kebun dilokasi sesuai. Penjagaan pokok beringin untuk landskap tidak sukar kerana tumbuhan ini agak mudah membesar apabila sistem pengakarannya aktif. Ramai juga peminat pokok bonsai yang menggunakan tumbuhan ini untuk dijadikan 'Pokok Bonsai'. Pokok bonsai yang disediakan dengan teliti memberikan nilai estetik yang tinggi dan boleh dijadikan pokok bernilai tinggi (Lihat foto pokok bonsai dibawah sekali)

Pokok Beringin sebenarnya mempunyai banyak khasiat dan menafaat yang jarang kita dibincangkan. Merujuk kepada beberapa buku dan website, saya dapati pokok beringin mempunyai menafaat berpotensi meningkatkan tahap kesihatan terutamanya dalam menyembuhkan penyakit. Akar udara yang terletak pada bahagian batang pohon beringin mengandungi bahan Asid Amino, Phenol, gula dan Asid Citrik. Akar ini juga mempunyai rasa yang sedikit pahit (bitter taste). Dalam laporan tersebut juga menyatakan bahagian akar dan daun merupakan bahagian dari tanaman yang berkhasiat untuk mengatasi beberapa penyakit. Akar udara dapat dimanfaatkan untuk mengatasi Selsema, Demam tinggi, Radang Tekak (tonsilitis), masaalah sakit tulang (Rheutism) dan sakit akibat luka. Daunnya berkhasiat menyembuhkan influenza, radang saluran pernafasan (bronchitis), batuk , malaria, radang usus akut (acute enteritis) dan masaalah kejang panas terutama pada anak kecil. Caranya dengan kita menyediakan sekitar 100 gram daun beringin segar kemudian dicuci bersih dan direbus bersama 5 liter air selama 25 rninit. Berikan air rebusan yang masih hangat ini untuk digunakan sebagai air mandian kanak-kanak yang sakit. 

Terdapat laporan yang menunjukkan cara untuk mengubati masaalah bronchitis dalam beberapa buku rujukkan. Apa yang dicadangkan adalah dengan merebus sebanyak 75 gram daun beringin yang masih segar dengan 18 gram kulit limau mandarin bersama dengan 3 gelas air bersih. Apabila air yang direbus tinggal hanya 1 gelas saja tutup api. Setelah air rebusan menjadi sejuk, maka kita tapis dan amalkan meminumnya sebanyak 3 kali sehari iaitu pada waktu pagi , siang dan malam. Kita boleh amalkan untuk selama 10 hari. Dalam kes untuk mengatasi radang usus atu disentri, kita boleh amalkan dengan mengambil sebanyak 500 gram daun beringin segar dan direbus dengan 3 gelas air sampai air tinggal sekitar 1 gelas sahaja. Setelah air rebusan sejuk, kita tapis dan perlu diminum dengan kekerapan sebanyak 2 kali sehari pagi dan petang iaitu dengan kuantiti 1/2 gelas setiap kali minum. Bagaimana pun jika ada masaalah lanjutan perlulah berjumpa dengan doktor diklinik. WallahuAlam 

Pokok Bonsai 'Beringin' yang menarik.
POKOK BERINGIN...ADA KHASIATNYA...
DAUN DAN AKAR...BOLEH DIGUNA...
DIBUAT POKOK BONSAI...CANTIK JUGA...
DAPAT PETUA..BERANI MENCUBANYA...

By,
M Anem
Agronomist
Putrajaya
Malaysia
(11 JamadilAkhir 1434H)

Saturday, May 18, 2013

BUNGA NENAS


NENAS (Ananas commosus) merupakan sejenis tanaman buah-buahan dari keluarga Bromeliaceae yang banyak ditanam di Malaysia. Pernahkah anda melihat "BUNGA NENAS"?. Mungkin bagi penanam nenas mereka pernah melihatnya tetapi bagi kebanyakan kita tidak berpeluang untuk melihat bunga nenas sebenar (Lihat foto diatas). Kita di Malaysia beruntung kerana negara kita merupakan salah satu negara menanam nenas dengan keluasan sebanyak 16,850 hektar pada tahun 2010 yang menghasilkan sebanyak 416,070 metrik tan. Kawasan penanaman nenas di Malaysia adalah di Johor dengan Daerah Pontian (3,686 hektar), Daerah Kluang (2,950 hektar) dan Daerah Muar (1,286 hektar) pada tahun 2010 terutama penanaman nenas di tanah gambut. Saya juga berpeluang membangunkan projek tanaman nenas diatas tanah gambut terbiar ketika bertugas di Daerah Muar iaitu seluas 180 hektar di kawasan Bt 14, Air Hitam, Muar di bawah projek ACDA Jabatan Pertanian iaitu dikawasan tanah terbiar pada tahun 2008. Beberapa varieti nenas yang popular di tanam di Malaysia seperti Nenas Moris, N36., Gandul, Josapine, Maspine, Yankee dan terkini adalah nenas Josapine. Artikel petang ini sambil berehat memandang Selat Tebrau diJohor Bahru, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai 'Bunga Nenas' sebagai satu lagi sumber maklumat berguna kepada pembaca semua.

Nenas merupakan sejenis tumbuhan yang tidak tinggi (sekitar 1.0 - 1.2 meter bergantung kepada varieti) dan mempunyai rumpun yang ada batang dan banyak daun (Lihat foto sebelah). Buah nenas sebenarnya adalan sejenis buah berganda (multiple fruit) yang mana setiap kali membentuk buah mempunyai lebih daripada 200 bunga. Apa yang saya perhatikan, keujudan bunga nenas banyak bergantung kepada varieti nenas, tahap penjagaan, umur pokok serta faktur iklim. Berdasarkan kepada taklimat Pegawai LPNM di Stesen Alor Bukit, di Johor, saya diberitahu bunga nenas ada dua makna didalam industri tanaman nenas. Perkara ini yang akan saya bincangkan pada kali ini mengenai bunga nenas yang ada kaitan dengan aruhan untuk pembungaan tanaman nenas dan bunga nenas pada buah yang boleh digunakan untuk tujuan pembiakbakaan (Plant breeding).


Dalam kategori pertama, 'Bunga Nenas' adalah bahagian tengah tanaman nenas (pucuk nenas) yang telah sesuai untuk dibubuh hormon bagi tujuan pengeluaran buah (Lihat foto sebelah yang saya ambil di LPNM Station). Lazimnya bunga ini akan keluar selapas 6 - 8 bulan bergantung kepada umur, varieti dan penjagaan tanaman diladang. Pucuk pokok nenas yang telah sedia untuk dihormon adalah mempunyai bentuk yang putarannya agak jelas dan warna pangkal pelepah daun agak keputihan. Pangkal pucuk daun juga akan kelihatan membengkak sedikit dan akan kelihatan seperti 'bunga' jika dilihat dari sudut atas. Hanya pegawai dan petani yang mahir sahaja dapat membezakan keadaan ini berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Bubuh hormon sama ada Pil ANAA atau Etylene dibahagian pucuk nenas ini untuk aruhan pengeluaran bunga. Beberapa minggu kemudian akan keluar bunga yang akan mejadi putik buah seterusnya menjadi buah nenas sehingga ia sesuai untuk dipetik.


Bunga nenas sebenarnya terletak pada buah nenas dibahagian hujung setiap kluster buah. Bergantung kepada varieti nenas, saiz dan warna bunga nenas berbagai daripada warna ungu, kuning, merah dan sebagainya (Lihat foto sebelah). Bunga ini mempunyai sistem seperti bunga lain dimana ada debunga dan stigma yang akan menghasilkan biji benih. Bunga ini yang akan digunakan oleh saintis didalam program biakbaka nenas untuk mendapatkan varieti baru. Teknik yang betul digunakan didalam biakbaka tanaman nenas dimana ini akan menghasilkan nenas hybrid yang mampu mendapatkan varieti baru yang lebih tinggi hasilnya atau tahan kepada serangan penyakit. Bunga pada nenas memang jarang kita dapat lihat kerana ramai kurang teliti akan kehadirannya. Adakah anda diantara orang yang berpeluang melihat bunga nenas?

BUNGA NENAS...APA DIMAKSUDKAN...

PUCUK NENAS... UNTUK ARUHAN..
BUNGA SEBENAR...BUAH KELUARKAN...
IA BERGUNA....UNTUK PEMBIAKAN...   

By,
M Anem
Senior Agronomist
Stesyen Nenas Alor Bukit,
Pontian, Johor,
Malaysia

(29 JamadilAkhir 1434H)

Friday, May 17, 2013

JUJUBE

JUJUBE (Ziziphus jujuba Mill) merupakan sejenis tanaman buah-buahan yang mana kita di Malaysia menamakan sebagai 'Buah Bidara'. Buah ini juga diberi nama sebagai Chinese date, Korean date, Indian date dan Red date yang ditanam untuk pokok hiasan disamping menghasilkan buah. Tumbuhan ini merupakan pokok dari keluarga Rhamnaceae yang menghasilkan buah yang manis dan disukai oleh ramai peminat. Tumbuhan ini adalah natif dari kawasan China dan di Asia Selatan dengan terdapat lebih dari 400 kultivar. Tumbuhan ini bolehh tumbuh dengan baik dalam keadaan iklim yang pelbagai. Bagaimana pun ia perlukan kawasan beriklim panas dan sejuk dengan ketahanan suhu sejuk sehingga -15 darjah selsius. Pokok juga boleh hidup dikawasan gurun sehingga kawaasan tanah tinggi yang sejuk dan paling ideal adalah dikawasan beriklim sederhana. Beberapa negara menanam jujube untuk penghasilan dimana jumllah pengeluaran buah ini sekitar 800,000 metrik tan setahun. Antara negara yang banyak menanam jujube seperti China, India, Korea, Iran, Pakistan dan Lebanon. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan iaitu Jujube yang menghasilkan buah untuk bacaan dan juga menambhkan ilmu pengetahuan pembaca semua.


Tumbuhan jujube merupakan jenis pokok renek  yang tumbuh menegak dengan ketinggian sekitar 5-10 meter bergantung kepada kultivar dan sistem pengurusan. Pokok jujube mempunyai banyak dahan dan mempunyai duri yang tajam. Daunnya adalah bersaiz kecil dengan ukuran 2-7 cm panjang dan 1-3 cm lebar serta berkilat. Bentuk daun adalah acute ovate atau kecil tirus berwarna hijau dan bahagian tepi yang bergelombang. Lazimnya ada dua duri pada pangkal daun. Bunganya adalah bersaiz kecil (4-5 mm panjang) berwarna hijau kekuningan pada kelopaknya dengan mengeluarkan aroma kuat yang wangi.  Kaedah pendebungga bagi jujube kurang pasti tetapi kemungkinan oleh serangga seperti semut dan juga oleh angin. Kajian menunjukkan kebanyakan jujube tidak menjalankan proses prndebungaan bersilang.


Buah jujube adalah dalam bentuk 'Drupe' atau berangkai dengan saiz buah sekitar 1.5 - 3.0 cm (Lihat foto sebelah). Bentuk buah juga banyak variasi daripada bentuk bentuk bulat kepada bentuk bulat memanjang dengan saiz buah daripada seperti buah ceri hingga kepadqa saiz buah plum. Ia mempunyai lapisan kulit nipis dengan isi buah yang boleh dimakan berwarna putih dan manis rasanya. Buah muda lazimnya berwarna hijau dan akan menjadi kuning hijau sehingga kepada warna merah mahogani apabila cukup matang. Buah masak mempunyai rasa manis serta rangup apabila ia cukup merah. Setiap buah mempunyai satu biji yang berbentuk bulat seperti biji zaitun.  


Kaedah pembiakan lazimnya secara kaedah CANTUMAN (grafting or budded) pada dahan yang sesuai. Pembiakan dengan cara keratan batang boleh dijalankan walau pun kadar kejayaan agak rendah. Biji dari buah jujube boleh digunakan sebagai bahan tanaman tetapi ketulinan varieti tidak ada jaminan. Anak benih yang sesuai ditanam dengan jarak 3 meter x 4 meter bergantung kepada jenis tanah dan varieti yang digunakan. Setelah mencapai ketinggian 1.0 - 1.2 meter boleh dipotong batang untuk mendapatkan sistem percabangan yang seimbang. Buat cantasan sehingga mendapat bentuk pokok yang dikehendakki. 


Tumbuhan jujube perlukan kawasan yang terbuka dengan sinaran matahari banyak dan kurang sesuai dikawasan teduhan. Tumbuhan ini juga sesuai tumbuh pada banyak jenis tanah tetapi tanah berpasir, saliran yang baik dan kurang tahan kepada tanah yang mudah terendam. Tumbuhan ini juga sesuai untuk ditanam diatas tanah yang agak masin (saline soil) dan tinggi pH (high alkaninity). Pokok ini tidak perlukan kaedah pembajaan yang rumit dan boleh hidup jika tidak dibaja pun. Bagaimana pun lazimnya pokok akan dibaja dengan baja NPK 8:8:8 dengan kekerapan setiap 2 bulan sekali. Tabur baja tersebut diperingat pembesaran pokok (growing stage). Aktiviti pangkasan pada pokok jujube tidak banyak perbezaan dengan pertumbuhan pokok yang tidak dipangkas. 


Tanaman jujube tidak mempunyai masaalah serangan perosak dan penyakit yang serius. Oleh itu jarang-jarang dilakukan semburan racun kimia pada tanaman ini. bagaimana pun terdapat serangan seperti cacing nematod dan serangga perosak akar yang tidak berapa serius. Pokok jujube akan matang beberapa tahun selepas ditanam dengan penghasilan buah masak berperingkat-peringkat. Buah masak dipetik untuk beberapa minggu dari sebatang pokok. Buah yang dipetik hijau tidak akan bertukar warna walau pun disimpan lama. Lazimnya buah jujube yang telah masak berwarna kemerahan atau mahogany akan dipetik untuk pasaran segar. Buah yang telah masak dipetik dengan tangan dan dikumpulkan untuk dibuat penggredan sebelum dihantar untuk jualan. Buah jujube segar boleh tahan selama seminggu jika disimpan pada suhu agak sejuk. Buah ini dimakan segar, di proses untuk dijadikan jujube kering dan juga dibuat candy. Buah jujube yang kering dipokok mempunyai nilai pasaran lebih baik berbanding dengan buah yang diproses dengan bahan pengawet. Semuga anda telah mendapat maklumat berguna dari artikel ini. Wasallam!  

Memetik buah jujube di China.

POKOK JUJUBE....TEGAK TUMBUHNYA..
BANYAK BUAH... MANIS RASANYA..
DIMAKAN MENTAH...SEGAR AMATNYA...
DIMANA DIJUAL...HENDAK BELINYA...

By,
M Anem
Bilik 127, Hotel Seri Malaysia,
Air Keroh,
Melaka,
Malaysia
(13 Mac 2013)

Thursday, May 16, 2013

PADI - SUBSIDI PADI

TANAMAN PADI (Oryza sativa) di Malaysia merupakan satu aktiviti penting yang membekalkan beras kepada penduduk Malaysia. Keluasan penanaman padi di Malaysia pada tahun 2010 adalah seluas 673,745 hektar dimana keluasan pasel sawah padi adalah 428,780 hektar dengan melibatkan seramai 172,000 pesawah. Hasil pengeluaran padi adalah sebanyak 2.458 juta metrik tan dengan nilai pengeluaran RM 2.165 billion (Laporan Statistik Agromakanan , Kementerian Pertanian Malaysia Tahun 2011). Laporan tersebut juga menyatakan purata penghasilan padi sebanyak 3,782 kg sehektar dengan penghasilan peling tinggi mencecah sebanyak 10 metrik tan sehektar seperti di sekitar sawah di Sekinchan, Selangor. Jika padie tersebut diproses kepada beras, hasilnya sebanyak 1.265 juta tan metrik beras dihasilkan untuk kegunaan rakyat Malaysia. Ini mencukupi untuk bekalan sebanyak 70% kadar kecupan makanan (SSL - self sufficiency level) dalam negara dimanasebanyak 570,000 metrik tan lagi perlu diimpot dari luar negara. Tanaman padi merupakan tanaman keselamatan yang perlu di jaga untuk mempastikan bekalan makanan ruji sentiasa mencukupi untuk rakyat Malaysia. Artikel alam sabtu ini sambil menonton perlawanan bola pada TV Astro saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kos pengeluaran tanaman padi daripada buku rujukan Anggaran Kos Pengeluaran dan Pendapatan Jabatan Pertanian 2012.  


Sistem Penanaman Padi Tabur Terus (Termasuk kos subsidi kerajaan) memerlukan kos penanaman sebanyak RM 5,329.50 untuk keluasan satu hektar. Kos pengeluaran tanaman padi adalah antara tanaman yang tinggi berbanding dengan tanaman lain. Ini kerana ia perlu disediakan setiap kali musim penanaman perlukan kos untuk penyediaan tanah, benih padi, input racun dan baja serta kos penjagaan tanaman padi. Tidak seperti tanaman getah dan kelapa sawit yang perlu menanam sekali sahaja dan pokok bertahan berpuluh-puluh tahun. Oleh itu amat wajar subsidi padi diberikan untuk mempastikan bahawa tanaman 'keselamatan' atau 'security crop' ini perlu diberikan bantuan dalam semua aspek. Bantuan untuk tanaman bijirin ini bukan sahaja untuk tanaman padi sahaja tetapi meliputi pelbagai tanaman bijirin lain seperti tanaman jagung, gandum, kacang soya dan sebagainya di negara-negara maju. Ini adalah untuk mempastikan keperluan utama penduduk dalam negara tersebut mencukupi malahan ianya adlah untuk pasaran ekspot. 


Bentuk subsidi untuk tanaman padi diberikan dalam bentuk Bantuan Langsung dan Bantuan Tidak Langsung. Bantuan tidak langsung adalah seperti penyediaan kemudahan atau infrastruktur untuk sawah padi seperti bekalan air untuk sawah padi dan juga infrastruktur asas sawah seperti jalan ladang, sistem bekalan air, sistem perparitan, kilang memproses padi dan sebagainya. Beberapa agensi diujudkan untuk mempastikan kawasan tanaman padi utama atau disebut sebagai "Jelapang Padi" sentiasa diberikan kemudahan infrastruktur yang lengkap. Terdapat 8 buah kawasan jelapang padi diujudkan dibawah Kementerian Pertanian Malaysia dengan konsep pembangunan IADA (Intergrated Agriculture Development Area). Agensi tersebut adalah MADA, KADA, IADA Pulau Pinang, IADA Krian di Perak, IADA Seberang Perak, IADA Barat Laut Selangor, IADA KETARA di Terengganu dan IADA Kemasin Semarak di Kelantan. Empat IADA baru telah diujudkan pada tahun 2013 iaitu IADA Pekan, IADA Rompin, IADA Batang Lupar, Sarawak dan IADA Kota Belud, Sabah. Kesemua kawasan utama tanaman padi akan menyediakan kemudahan infrastruktur sawah padi bagi meningkatkan lagi produktiviti pengeluaran padi di Malaysia.


Bagi bantuan langsung terdapat beberapa skim bantuan yang diperkenalkan untuk mengurangkan kos yang ditanggung oleh pesawah. Subsidi padi ini juga bagi mempastikan produktiviti  padi terus meningkat dari setiap hektar penanaman padi. Beberapa insentif pengeluaran melalui agensi kerajaan diujudkan dengan sistem agihan yang cekap dan berkesan. Diantara bantuan untuk penanaman padi adalah seperti Skin Insentif Harga Padi, Skim Baja Subsidi Baja Padi Kerajaan, Skim Peningkatan Produktiviti Hasil Padi, Skim Insentif Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) dan sebagainya. Kajian yang saya jalankan mendapati kadar bagi Bantuan Subsidi Harga Padi di Malaysia adalah sebanyak RM 248.10 setiap satu metrik tan bersih yang ditentukan pada pintu kilang beras BERNAS atau pihak swasta. Subsidi ini diberikan kepada semua hasil padi yang dihasilkan dalam negara secara langsung semasa proses penghantaran padi dikilang beras mengikut kualiti padi yang dihantar. Sementara itu kadar subsidi sebanyak RM 650.00 bagi setiap satu metrik tan padi diberikan dibawah Skim Insentif Peningkatan Hasil Padi yang ditentukan juga pada pintu kilang. 


Terdapat beberapa subsidi lain untuk pesawah iaitu dibawah Skim Bantuan dalam bentuk input. Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan memberikan input baja padi kepada pesawah dengan kadar sebanyak 240 kg sehektar bagi baja sebatian. Ini bersamaan dengan 12 beg baja seberat 20 kg/ pesawah/ beg dan juga 100 kg baja urea setiap hektar penanaman padi (5 beg seberat 20 kg satu beg). Bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi, kadar bantuan berbentuk input pertanian iaitu baja dan racun diberikan dengan kadar maksimum RM 140.00 sehektar semusim. Sementara itu kadar upah membajak sawah juga diberkan dengan kadar RM 100.00 setiap hektar semusim. Selain itu penanam padi juga layak menerima bantauan dibawah Skim Insentif Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (DJBM) seperti bantuan Kapor, Baja Tambahan NPK dan juga Bantuan Kawalan Makhluk Perosak. Bagi bantuan kapor kadar sebanyak RM 3 metrik tan/ hektar diberikan setiap 3 tahun penanaman dengan kadar maksima RM 250.00 sehektar iaitu pecahan kepada bahan input kapor sebanyak RM 150.00 dan Upah mengapor sebanyak RM 100.00. Baja tambahan NPK diberikan dengan kadar 150 kg sehektar atau sebanyak 6 beg baja seberat 25 kg satu beg dengan nilai RM 405.00. Akhir sekali adalah bantuan kawalan racun makhluk perosak dengan nilai R 200.00 sehektar semusim yang diberikan menggunakan sistem kupon di Pejabat PPK. Tanaman padi memerlukan kos yang tinggi untuk mempastikan negara mampu membekalkan bahan makanan beras untuk keperluan negara dengan kadar Kecukupan negara (SSL) sebanyak 70% setiap tahun.


Nasi beriyani - enak sekali.

SUBSIDI PADI... PENTING SEKALI...
SETIAP MUSIM...PASTI DIBERI...
TANPA SUBSIDI.. KOS TINGGI...
TANAMAN PADI.. MAKANAN RUJI...

By,

M Anem
Agriculture Economist
Putrajaya
Malaysia
(23 RabiulAkhir 1434H).

Wednesday, May 15, 2013

TAUHU

TAUHU merupakan satu produk yang dihasilkan daripada kacang soya dan sangat popular sebagai makanan yang berkhasiat di Malaysia dan Indonesia. Ada yang panggil ia sebagai 'Tahu' sahaja dimana makanan ini merupakan bahan asas penting untuk dijadikan makanan seperti Tahu Goreng, Tahu Bakar, Rojak Tahu, Sayur Tumis, Tahu Sumbat dan banyak lagi. Tahu merupakan sejenis makanan yang berasal daripada negar China seperti juga Kicap (Soy souce) dimana kini ia merupakan satu bahan makanan sangat digemari oleh pelbagai bangsa di Malaysia.  Daripada wikipedia menyatakan yang tahu berasal dari bahasa Hokkien (Tauhu) yang bermakna 'Kacang Soya yang ditapaikan'. Tahu merupakan makanan yang telah sangat lama dicipta dan dimakan iaitu semenjak 2,200 tahun dahulu semasa pemerintahan Dinastai Han di China. Di negara Jepun pula makanan ini lebih dikenali sebagai 'Tofu' sahaja. Kini 'tahu' telah terkenal diseluruh dunia terutama di kawasan Asia dan juga dimana ada komuniti bangsa China tinggal. Saya pun memang amat suka makan tahu goreng segar yang dicecah dengan sambal kicap. Selain daripada keenakannya, tahu merupakan sejenis makanan yang dapat memberikan khasiat kesihatan yang baik kepada manusia kerana kandungan protin yang tinggi. Artikel petang Sabtu ini sambil merenung pembinaan kompleks deratan kedai 3 tingkat, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi membuat tahu. 


CARA-CARA MEMBUAT TAHU:-


1.  Dapatkan biji benih kacang soya segar dan asingkan biji kacang soya yang rosak dengan cara asingkan melalui menampi. Sebaiknya semasa membeli kacang soya, penting untuk mendapatkan biji kacang soya bersaiz besar dan masih segar lagi. 



2.  Kacang saya tersebut perlu dicuci atau dibasuh dengan air bersih dimana ia kemudian akan direndam dalam air bersih selama enam jam. Pastikan tempat dan bekas untuk merendam biji kacang soya adalah bersih dan selamat dari gangguan haiwan.

3.  Keluarkan kacang soya yang telah direndam kemudian biji kacang soya tersebut kemudian dicuci lagi selama setengah jam. Pastikan menggunakan air bersih atau air mengalir ketika mencuci biji kacang soya.

4.  Kacang soya yang telah direndam adalah lembut dan ia kemudian perlu dipecahkan sehingga pecah dua dengan menggunakan MESIN PEMECAH KACANG SOYA. Bersihkan mesin tersebut dengan air bersih sebelum memulakan proses pengisaran.



5.Kemudian biji kacang soya dikisar atau pun digiling sampai halus dengan menggunakan MESIN PENGISAR KACANG SOYA (Grinder). Proses mengisar ini perlu dijalankan dengan teliti dimana ada dua produk yang akan keluar iaitu bahagian hampas kacang soya dan juga bahagian susu kacang soya yang keluar dari tempat berasingan. Pastikan susu kacang soya masuk dalam bekas khas dalam keadaan bersih.

6.  Susu putih kacang soya kemudian perlu dimasak atau direbus sampai mendidih di dalam mesin pemasak yang berukuran besar. Kawal api ketika memasak kerana ini akan mengelakkan susu soya daripada menjadi kerak dibahagian bawah susu kacang soya.




7.  Susu kacang soya yang telah dimasak kemudian perlu dipindahkan dari kuali tempat masak kepada penapis atau tong untuk disaring dengan kain penapis atau kain kasa kasar yang telah diletakkan pada tong atau bekas khas. Lakukan proses penapisan beberapa kali sehingga semua intipati soya dapat diasingkan dengan bahagian hampas. 
Proses menapis ini perlu dijalankan sehingga pati dan kandungan susu telah dikeluarkan dan hanya tinggal hampas sahaja.

8.  Air susu soya yang ditapis dan dikumpulkan dalam tong kemudian dicampur dengan bahan khas seperti cuka agar ia akan menggumpal. Selain cuka khas terdapat juga mereka yang menambahkan air kelapa atau cairan whey (air sari tahu bila tahu telah menggumpal) yang telah diperam atau Benang Sila (Sulfat kapur).



9.  Kemudian air tahu pekat tadi dipisahkan dari gumpalan atau kepalan putih dan disimpan sebab masih boleh digunakan lagi. Gumpalan atau kepalan tahu yang mulai mengendap dituangkan dalam CETAKAN TAHU DARI KAYU. Tutup dan pisahkan dengan lapisan kain lembut berwarna putih. Adunan tahu dalam kotak kayu perlu ditindih (Press) selama satu minit sehingga air yang masih tercampur dalam adunan tahu itu terperah semua. Adunan tahu berbentuk kotak yang sudah padat ia bolehlah dikeluarkan sama ada dipisahkan atau pun dipotong-potong menjadi bentuk kiub. Ukuran tahu bergantung kepada keperluan pasaran sama ada ia bersaiz kecil atau besar. Lazimnya saiz yang sering dibuat adalah berukuran 6 x 4 cm. Tahu yang telah dicetak perlu disusun dalam bekas khas agar mudah untuk pengangkutan dan tidak pecah. Tahu tersbut perlu dihantar kepasar untuk dijual kerana ia tidak tahan lama jika terdedah atau terbuka kepada udara walau pun ada yang menyimpannya didalam air. Wasallam!


Tahu Sumbat yang enak!

NAMANYA TAUHU... TOFU PUN DIA...
DARI KACANG SOYA..ASAL USULNYA...
IA DITAPAI...PUTIH BERSIH JADINYA...
MEMANG ENAK.... DIMAKAN BERSAMA...

By,
M Anem

Taman Cendana, Jalan Istana,
Bukit Beruang, Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(11 JamadilAkhir 1434H


Tuesday, May 14, 2013

POKOK KELULUT

POKOK KELULUT (Urena lobata) merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga Malvaceae yang tumbuh liar dikawasan semak belukar dinegara kita. Nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti 'Pepulut', 'Pulut-pulut', 'Pulut Lembu' dan juga 'Kelulut'. Tidak ramai diantara kita yang menggunakannya sebagai tanaman untuk perubatan. Pokok Kelulut adalah berbeza dengan Serangga Lebah Kelulut yang menghasilkan lebah madu kelulut apabila diternak (Sila baca artikel saya mengenai Kelulut - Klik disini dan Klik disini)Pokok Kelulut selalunya tumbuh di kawasan tanah terbiar atau belukar dikawasan yang ada sinaran matahari dan dianggap sebagai rumpai. Saya masih ingat ketika remaja dulu, buah pokok kelulut akan melekat pada seluar, baju atau setokin dan gatal jika terkena kulit. Sebenarnya kita atau haiwan yang berbulu merupakan agen yang membawa bijibenih pokok kelulut untuk proses pembiakan. Buahnya amat mudah melekat pada pakaian kita kerana ia ada duri yang bercangkuk dihujungnya. Sebab itulah suatu ketika dulu saya dapati buah pokok kelulut ni boleh dikatakan antara bahan permainan yang popular dengan kita berlawan siapa paling pantas untuk membuangnya daripada pakaian kita. Siapa yang habid dulu membuangnya dikira pemenang. Baling membaling buah kelulut kering sehingga melekat kebaju adalah menjadi hiburan buat kanak-kanak sehingga berbalah dan ada yang bermasam muka. Apa tidaknya buah yang sebesar kepala mancis melekat kemas pada rambut ,pakaian juga beg sekolah. Artikel subuh Selasa ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok kelulut dan khasiatnya dalam dunia perubatan sebagai bahan yang boleh dibuat rujukkan oleh pembaca.

Pokok Kelulut merupakan pokok renek yang tumbuh menegak dengan ketinggian antara 0.4 - 1.0 meter bergantung kepada spesis. Pokok ini mempunyai banyak cabang dengan mempunyai daun berwarna hijau yang mempunyai lekuk (Lobed). Susunan daun adalah  bertentangan dengan tangkai daun agak panjang. Bentuk daun kelulut di negara kita adalah berukuran 6 - 10 cm panjang dengan agak sedikit kasar atau berbulu. Bunga kelulut amat menarik dengan warna kelopak bunga merah keputihan dimana ia mempunyai 5 kelopak (Sila lihat foto disebelah). Sekali pandang dari hadapan ia seperti bunga raya tetapi saizya kecil sekitar 1.2- 3.0 cm dengan pistil yang jelas kelihatan. Serangga dan angin membantu didalam proses pendebungaan. Buah kelulut berada didalam 'KAPSUL' dengan ia berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna coklat gelap apabila matang. Kulit luar kapsul lazimnya mempunyai bulu atau duri yang tajam dan keras apabila matang kerana ia melekat pada pakaian fabrik dan bulu binatang. DIdalam kapsul pula mengandungi bijii benih kelulut yang bercambah apabila jatuh diatas tanah yang sesuai.


Pokok kelulut boleh tumbuh dalam pelbagai jenis tanah seperti tanah mineral, tanah gambut, tanah liat, tanah berpasir malahan dikawasan tanah bris. Kemampuannya untuk hidup lama dikawasan tanah kurang subur kerana akar pokok ini adalah agak panjang masuk dalam tanah. Daun pokok ini apabila dikutip dan dilumatkan dengan tangan akan menghasilkan lendir dan berbau busuk (Orang Jawa kata  bau 'Langu'). Tumbuhan ini adalah dianggap sebagai rumpai kepada pekebun kerana jika ia tumbuh dengan banyak disuatu kawasan akan menyebabkan tanaman yang kita usahakan akan tewas. Saya juga dapati yang haiwan ternakan seperti lembu dan kambing memang tidak mahu makan akan daun rumput kelulut. Ini mungkin bau busuk yang ada pada tumbuhan ini menyebabkan haiwan tersebut tidak meragut dan menyumbang pertumbuhan lebih luas.


Buah pokok 'kelulut'.
Banyak khasiat dari segi perubatan yang akan saya tulis dalam artikel kali ini. Antara khasiatnya adalah kaedah rawatan secara tradisional daun kelulut dipercayai dapat menyembuhkan sakit gigi. Petua yang saya dapat dari penduduk orang asli di Kg Peta, Mersing dulu adalah dengan gunakan daun kelulut yang dikunyah dikawasan gigi yang sakit. Daun ini juga boleh dilumatkan untuk digunakan bagi merawat luka-luka kecil. Caranya apabila kita kena luka kecil akibat terjatuh dan luka kecil, ambil beberapa helai daun kelulut dan kunyah dalam mulut. Tampal daun tersebut kekawasan luka dan kita akan dapati pendarahan akan berhenti segera. Daun yang dikunyah ini agak berlendir dan sangat berkesan dalam merawat luka-luka. Dibawah saya senaraikan beberapa khasiat daripada pokok kelulut:-

a). Mengurangkan Sakit Gigi.
Ambil bahagian akar pokok kelulut saja dan ia dibersihkan akar tersebut sebaik mungkin. Kemudian daun tersebut perlu kunyah akar tadi secara perlahan-lahan sehingga sakit gigi berkurangan atau terus baik..

b) Merawat Demam Berpanjangan
Kita ambil akar kelulut daripada pokok dan bersihkan menggunakan air bersih. Kemudian kita perlu menumbuk akar tadi hingga lumat sedikit. dan seterusnya kita perlu kisarkan akar tersebut dengan menambahkan sedikit air menggunakan blender atau seumpamanya. Selepas itu kita perlu tapiskan akar kelulut tadi untuk mendapatkan jusnya. Akhir sekali kita  minum jus tersebut secara perlahan-lahan sehingga demam sembuh. Jika demamm berterusan maka disyorkan jumpa doktor diklinik.



c. Merawat Luka
Cara nya dengan mengambil beberapa helai daun kelulut dan perlu dibersihkan. Kemudian daun tersebut perlu di tumbuk sehingga lumat. Akhir sekali kita perlu pupukkan daun yang telah lumat pada bahagian yang luka.
Cara ini merupakan kaedah rawatan tradisional yang sangat baik yang diamalkan oleh dato nenek moyang kita. Artikel ini diharap dapat memberikan maklumat yang boleh dijadikan bahan rujukkan anda semua. Wasallam! 

POKOK KELULUT...ADA DIMANA-MANA...
JENIS HERBA...JARANG DIGUNA...
BANYAK KHASIAT... PERLU DI CUBA...
SUDAH KENAL... SANGAT BERMAKNA...

By,
M Anem
Room 3112, Block Camelia,
Colmar Tropicale, Bukit Tinggi Resort,
Bentong, Pahang,
Malaysia
(4 Rejab 1434H)

Monday, May 13, 2013

MADU KELULUT - KHASIATNYA (Part 1)

KELULUT (Trigona spp) merupakan sejenis serangga dari keluaarga Apidae yang terdapat di negara kita dan dikawasan tropika diseluruh dunia sebagai sejenis lebah yang mampu menghasilkan manisan madu. Serangga kelulut ini tidak menyengat dan bersaiz kecil iaitu lebih kecil daripada lalat. Ia adalah bukan pokok Kelulut (Urena lobata) pula merupakan sejenis tumbuhan jenis herba yang mudah didapati dikawasan tanah terbiar dimana antara khasiat buah kelulut untuk perubatan sakit gigi serta sebagai ramuan ubat periok. Serangga Kelulut juga di panggil sebagai 'Stingless Bee'  yang mempunyai 33 spesis di Malaysia dimana sebanyak 21 spesis terdapat di Semenanjung Malaysia dan bakinya hanya berada di Sabah dan Sarawak. Saya dapati belum ramai saintis yang buat kajian mengenai kelulut. Usahawan serta teknologi menternak kelulut di negara kita yang juga masih kurang kerana ianya masih dianggap sebagai serangga liar yang hidup dalam habitat semulajadi. Bagaimana pun dengan promosi hebat mengenai khasiat madu lebah kelulut yang dipaparkan didalam akhbar perdana dan pameran pertanian, kini telah ramai  yang berminat untuk mendapatkan teknologi menternak lebah kelulut dan ingin membeli koloni induk lebah kelulut. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai khasiat pada Madu Kelulut yang mana ia merupakan antara jenis madu yang ada dipasaran berdasarkan pengalaman, kajian persendirian dan juga rujukkan daripada beberapa lamanweb.


Madu Kelulut mempunyai warna  yang lebih jernih berbanding madu hutan biasa daripada lebah tualang (Apis dorsata) dan rasanya manis bercampur sedikit masam. Ia dihasilkan oleh lebah kelulut yang kecil berwarna hitam dimana kelulut agak paling istimewa kerana ia jenis lebah yang saya pasti tidak menyengat (Lihat foto sebelah). Madunya didakwa mempunyai banyak khasiat untuk memulihkan pelbagai penyakit kronik dan sangat berguna dalam bidang perubatan serta untuk kesihatan. Apa yang saya faham, madu kelulut berasal daripada himpunan nektar dari sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia. Berbanding dengan lebah yang lebih besar, kelulut mampu masuk hingga kedalam kuntum bunga jauh kedalam walau pun ia terbang lambat. Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan tempatan dan luar negara. Saya pernah mengajar ilmu mengenai ternakan lebah madu iaitu Lebah Keran (Apis cerana) selama 10 tahun ketika bertugas di Negeri Melaka dan Johor dahulu (Lihat foro dibawah). Apa yang saya dapat baca adalah mendapati bahawa khasiat madu kelulut memang mampu meningkatkan proses metabolisma badan, menambahkan tenaga batin, menjaga kecantikan, menguatkan wanita yang baru bersalin dan merawati pelbagai penyakit serta kecederaan dalaman.


Lebah Keran (Apis cerana)
Sama seperti Lebah Keran (Apis cerana) atau Lebah Tualang (Apis dorsata) dan Lebah Impot (Apis melifera), saya dapati Lebah Kelulut (Trigona spp) juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti produk antioksidan yang tinggi. Apa yang saya kaji, madu dari Lebah Kelulut rasanya agak masam sedikit berbanding madu biasa yang warnanya lebih cerah. Madu kelulut juga dijual dengan harga lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana kekurangan bekalan (Belum banyak penternak) dan penghasilan madu amat sedikit oleh setiap koloni yang mampu menghasilkannya. Ia juga agak sukar dibeli dipasaran biasa. Beberapa laporan menyatakan, ada beberapa penyakit yang dilaporkan sembuh melalui kaedah rawatan tradisional yang mengunakan hasilan lebah kelulut. Ini termasuk Penyakit seperti Diabetis mellitus (kencing manis), Strok, Hepatitis (Hati), Kanser, Hipentensi (Darah Tinggi) dan Batu Karang. Dilaporkan juga hasil penyelidikan itu telah memberi nilai tambah kepada madu kelulut dan madu lebah tempatan yang menyebabkan permintaannya telah melebihi bekalan. Madu lebah diketahui mengandungi bahan anti-oksidan yang tinggi dan ia amat baik untuk kesihatan. 


Kajian khusus telah dilakukan oleh saintis di MARDI dan Universiti Malaya dimana hasilnya telah menunjukkan madu kelulut mempunyai nilai dalam perubatan tertentu. Kajian awal yang dilakukan MARDI Serdang menunjukkan bahawa kandungan Asid fenilpropanaoik, Asid protocatechuik dan juga bahan seperti Asid 4-hidroksifenilasetik adalah di antara bahan utama yang telah berjaya dikenalpasti berada dalam madu kelulut. Bahan-bahan ini tergolong dalam kumpulan Asid fenolik bebas dimana kehadirannya dalam madu kelulut memberikan jumlah keseluruhan sebanyak (g/g) daripada berat kering. Asid fenolik bebas merupakan bahan aktif yang boleh bertindak sebagai antikanser dan antioksidan. Laporan juga mendapati bahan ini lebih mudah untuk diserap dalam tubuh manusia berbanding bahan aktif lain seperti flavonoid. Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) juga telah merekodkan secara khusus yang madu memang mempunyai khasiat dari segi perubatan. Kajian makmal yang telah dilakukan ke atas tikus yang telah disuntik dengan diabetes menunjukkan, madu berupaya menurunkan glukosa dan ia mampu mengurangkan kerosakan fungsi ginjal dan dapat mengurangkan stress aksidatif. Selain itu kajian pada tikus yang telah di buang ovari untuk kajian menapous menunjukkan, madu dapat mengurangkan atrofi pada uterus dan vagina serta meningkatkan ketebalan trabekular tulang. Ini bermakna ia selalunya akan membantu manguatkan tulang melalui penyerapan kalsium. Khasiat madu kelulut memang amat baik walau pun harganya agak tinggi berbanding dengan madu lebah tempatan atau pun madu impot. Dapatkan bekalan madu kelulut dari penternak yang betul.
Bersambung kepada artikel Madu Kelulut (Part 2).
Wasallam!

MADU KELULUT...GELAP WARNANYA...

ADA YANG PUTIH..JARANG JUMPANYA...
BANYAK KHASIAT... PERLU MAKANNYA...
BADAN SIHAT... LEBIH LAMA USIANYA...

By,
M Anem
Pusat Pertanian Pulau Gadong,
Melaka Tengah,
Melaka, Malaysia.
(5 JamadilAkhir 1434H)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...