Support My Blog

Monday, March 2, 2015

SAWO - ITU BUAH CIKU

SAWO adalah gelaran yang diberikan bagi BUAH CIKU (Manilkara zapota Linn) dinegara Indonesia. Buah ini juga mempunyai nama botani yang lain iaitu Achras zapota Linn, atau juga Manilkara zapotilla (Jac) Gilley dan Manilkara zapota (Mill) Forsberg. Pokok sawo atau ciku adalah sejenis tumbuhan pokok buah yang berumur panjang. Pokok dan buahnya juga dikenali dengan beberapa nama seperti Sawo (Jawa), Sauh atau Sauh manila, Ciku (Melayu), Tsiko (Filipina), Chikoo atau Sapota (India), Sofeda (Bangladesh), Xa pô chêatau hồng xiêm (Vietnam), Rata-mi (Sri Lanka), Lamoot (Thailand, Laos dan Kamboja), Níspero (Venezuela), Sugardilly (Bahamas), Naseberry (Hindia Barat), Sapote (Nicaragua), Sapoti (Brazil), Sapotillier (Perancis) dan Sapodilla (Inggris). Mengetahui banyak gelaran diberikan pada buah ini pastinya ia boleh tumbuh dibanyak negara dan diminati dengan meluas. Bagaimana pun penulis harap semua pembaca blog ini tidak akan keliru dengan BUAH KIWI yang sangat popular dari New Zealand (Artikel buah kiwi ada ditulis sebelum ini - Sila Klik Disini). Tanaman ini dipercayai berasal dari Amerika tropika seperti Guatemala, Mexico atau sekitar Hindia Barat. Tumbuhan ini boleh hidup dikawasan dataran rendah. Dipercayai para penjajah bangsa Sepanyol membawa buah ini dari Meixco ke Filipina dan seterusnya ke Malaysia serta seluruh ke Asia Tenggara. Kini buah ini telah banyak diusahakan dan ditanam dikawasan tropika seluruh dunia dimana banyak koleksi janaplasma disimpan sebagai sumber rujukkan. Artikel petang Isnin ini sempena cuti tahun baru Cina 2015, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai buah Sawo atau Ciku serta khasiatnya untuk dijadikan bahan rujukkan.


Pokok sawo adalah jenih pokok yang besar dan rendang dimana ia dapat tumbuh hingga setinggi 30 - 40 meter. Lazimnya ia akan bercabang rendah dengan batangnya berkulit kasar berwarna kelabu kehitaman sampai coklat tua. Seluruh bahagian pokok tumbuhan sawo mengandungi getah yang berwarna putih susu (latex) dimana apabila membeku menjadi kental. Buah sawo matang yang baru dipetik juga akan mengeluarkan getah putih dan jika terkena mata akan jadi pedih atau kalau kena baju akan boleh mencacatkannya (Sila lihat foto disebelah). Pokok sawo atau ciku ini mempunyai bentuk daun tunggal yang mempunyai susunan berselingan dan ia sering daun ini mengumpul pada bahagian hujung ranting. Helai daun mempunyai bahagian tepi rata dan ia sedikit berbulu dengan berwarna hijau tua berkilat. Ada juga yang berbentuk bundar-telur sampai agak 'lanset' berukuran  1.5 - 7.0 cm x 3.5 -15.0 cm dimana dibahagian pangkal dan ujungnya bentuk baji. Panjang tangkai daun 1.0 - 3.5 cm dengan tulang daun utama menonjol di sisi sebelah bawah. Bunga sawo adalah jenis tunggal terletak di ketiak daun dekat hujung ranting yang mana ia bertangkai sepanjang 1.0 - 2.0 cm dimana ia kerapkali menggantung. Saiz bunga sekitar garispusat 1.5 cm dengan bahagian sisi luarnya berbulu warna kecoklatan sebanyak 6. Kelopak biasanya tersusun sebanyak dua lingkaran dengan mahkota berwarna putih.


Buah sawo atau ciku berbentuk bulat, bulat telur atau bulat panjang bergantung kepada varieti. Ukuran buah berbeza-beza diantara 3.6 hingga 8.0 cm yang berwarna coklat kemerahan sampai kekuningan (Sila lihat foto disebelah). Bahagian luarnya selalu seakan bersisik-sisik kasar coklat dimana ia mudah mengelupas. Dibahagian hujung buah selalunya ada bekas tangkai yang kering (conet) yang akan tanggal bila buah dipetik dan diperam. Sawo adalah buah yang berkulit nipis dengan daging isi buah yang lembut dan kadang-kadang seakab berpasir (sandy) dengan isi manis dan kadang-kadang bila kena getah akan rasa pahit sedikit. Kebanyakan buah ciku menpunyai biji diantara 6 - 12 butir yang berbentuk lonjong dan pipih dengan warna hitam atau kecoklatan yang berkilat. Biji ciku mempunyai saiz panjang sekitar 2 cm dimana ia boleh disemai. Penulis dapat tahu dari beberapa pengusaha nurseri bahawa pembiakan pokok ciku adalah sukar dan lambat. Tumbuhan ini dapat diperbanyak dengan biji ataupun mengetut (marcotting). Harga benih ciku yang telah disahkan ketulinanannya sekitar RM8.00 - RM15.00 bergantung kepada saiz pokok dan varieti.


Kebanyakan buah sawo matang akan dipetik dan diperam beberapa hari sebelum ia sesuai dimakan. Buah ini sering dimakan dalam keadaan segar sebagai buah manis yang dihidangkan untuk pencuci mulut. Bagaimana pun buah sawo sesuai dikisar untuk dijadikan jus sawo atau air sarbat (sherbet) yang enak jika dicampurkan dengan aiekrim. Isi buah sawo dapat dipekatkan menjadi sirap atau difermentasi menjadi anggur atau cuka. Getah pokok sawo yang ditoeh di Amerika dilaporkan akan dikentalkan menjadi bahan berguna dalam pelbagai industri. Getah ini juga pernah dilaporkan sebagai bahan penampal gigi yang rosak satu ketika dahulu. Merujuk kepada pokok sawo atau cuku, ia mempunyai jenis kayu keras dan berat dengan tekstur halus dan corak warna yang menarik. Kayu pokok ciku amat disukai sebagai bahan membuat perabot dan ukir-ukiran kayu. Di beberapa negara kayu ciku sering digunakan dalam pembuatan patung keranaa cirinya yang mudah diukir dan mudah dibentukkan dengan hasil yang baik. Kayu sawo memiliki ketahanan dan awet lama dan juga tahan dari serangan cendawan dan serangga. Kayu ini juga merupakan jenis kayu baik untuk membuat gasing.


Lazimnya buah akan matang pada umur sekitar 29 minggu. Buah ini biasanya dituai dengan hati-hati dari tangkainya dan kemudian disusun di atas tanah. Ada dikalalangan petani yang akan merendam buah sawi ini dalam air agar getahnya habis keluar kemudian ia dicuci dan digosok kulitnya untuk membuang sisik-sisik di bahagian luar. Selalunya dari pemerhatian penulis sendiri, buah sawo yang baru dipetik itu masih keras dan perlu disimpan 3-7 hari agar menjadi masak dan lembut isinya dan sesuai dimakan. Buah ciku atau sawo yang hendak dijual biasanya akan masak dalam perjalanannya ke pasar atau sehingga sampai ke pembeli. Penyimpanan dalam suhu rendah dapat memanjangkan jangkamasa simpanan buah sawo. banyak khasiat mengenai buah ciku diperkatakan melalui beberapa testimoni. Khasiatnya didakwa mampu untuk memelihara kesihatan tulang dan gigi kerana mengandungi unsur Posforan dan kalsium yang cukup tinggi. Ia juga sangat kaya dengan unsur anti-oksidan iaitu tannin. Tannin berguna dalam tubuh sebagai anti radang, anti virus, anti parasit dan anti bakteria. Ada juga kandungan zat lain yang membantu proses metabolisma tumbesaran tubuh dengan menghsilkan enzim yang diperlukan badan. Itulah sebabnya buah sawo selalunya akan diberikan kepada kanak-kanak sejak usia 6 tahun dimana ia dapat membantu proses pembesaran mereka.


Buah sawo atau ciku dimakan untuk jaga kesihatan kerana banyak kandungan vitamin C di dalamnya. Vitamin C dalam buah sawo dapat menghadang pengaruh radikal bebas dan juga mampu untuk meningkatkan daya tahan tubuh bila anda memakannya secara rutin. Bahkan buah sawo juga sesuai bagi ibu hamil yang mana ada zat yang diperlukan untuk tumbesaran janin. Ia juga menjamin kesihatan ibu yang mengandung. Buah ciku juga didakwa membantu memelihara kesihatan mata kerana zat iaitu vitamin A. Ia juga dapat membantu dalam pembentukan sel darah merah kerana kandunga Asid Folate didalamnya. Apa yang paling seronok bila didakwa buah sawo ini mampu mencegah kanser usus mengatasi masaalah sembelit dan melindungi selaput lendir usus agar terhindar dari racun penyebab kanser. Buah ini memiliki manfaat yang cukup menarik dari segi manafaat kecantikan khususnya untuk kecantikan kulit. Buah sawo mengandungi banyak vitamin E yang dapat membaiki bahagian kulit dari dalam sehingga kulit akan dilihat sihat dan bercahaya. Ia juga dapat menjaga kelembapan kulit sekaligus mengusir tanda-tanda penuaan semulajadi yang nampak pada kulit. Selepas membaca artikel dalam blog kali ini, penulis pun yang memang suka makan buah sawo atau ciku terus membelinya. Harga yang ditawarkan di Pasar Tani Putrajaya atau di Pasar Malam Bukit Baru, Melaka juga amat berpatutan. Kadang-kadang penulis cari pokok sawo di sekitar Kg Duyung atau Tiang Dua di Melaka untuk dapatkan bekalan segar. Wasallam!.


BUAH SAWO... CIKU ITU SAMA...
MUDAH DITANAM...MASA LAMA...
BUAH DIPETIK... DIPERAM JUGA...
RASA MANIS...KHASIAT HEBATNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(13 JamadilAwal 1436H)
-Selepas melawat kebun Ciku di Duyong.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...