Support My Blog

Wednesday, June 29, 2016

JAGUNG BIJIRIN - TAMBAH PENDAPATAN PESAWAH?

JAGUNG BIJIRIN (Zea mays) mungkin boleh menambah pendapatan pesawah jika ditanam secara bergiliran dengan musim tanaman Padi (Oryza sativa). Berapakah pendapatan tambahan yang akan dijana daripada teknologi intensifikasi daripada penanaman jagung bijirin jika ditanam dikawasan sawah padi yang selalu ditanam hanya sekali setahun ini?. Kini telah ada galakkan khas daripada pihak kerajaan untuk menanam jagung bijirin dinegara kita bagi mengatasi isu pengimportan bahan jagung bijirin dan kacang soya yang amat tinggi khususnya untuk diproses menjadi makanan ternakan. Malaysia mengimport sebanyak 3.2 juta metrik tan jagung bijirin pada tahun 2015 bernilai sekitar RM3.2 billion daripada beberapa negara seperti USA, Argentina dan juga China. Sementara itu pengimportan kacang soya pula adalah sebanyak RM2.1 billion pada tahun yang sama menjadikan jumlahnya kepada RM5.3 billion daripada keseluruhan jumlah defisit perdagangan bahan makanan negara yang berjumlah RM18.1 billion pada tahun 2015. Ini amat merugikan negara kerana berlaku aliran wang keluar yang ketara untuk jangka masa panjang. Dikalangan negara-negara ASEAN yang berjiran dengan kita, dilaporkan dimana Indonesia menghasilkan sebanyak 9.6 juta mt jagung bijirin setahun, Filipina (7.8 juta mt), Vietnam (6.0 juta mt) dan Thailand (4.7 juta mt). Malaysia memang tidak melaporkan pengeluaran jagung bijirin pada setiap tahun. Keluasan penanaman jagung di Malaysia sekitar 6,430 - 6,800 hektar CHE setiap tahun dimana hampir 99% adalah daripada varieti Jagung Manis Hibrid. Kawasan pengeluaran utama jagung manis di Malaysia adalah di Johor, Selangor, Perak dan Pahang. Di Johor sahaja mereka mampu menghasilkan lebih 35% daripada bekalan jagung manis negara iaitu untuk pasaran tempatan dan eksport. Eksport utama jagung manis segar adalah ke Singapura (Sumber: Laporan Statistik, Jabatan Pertanian Malaysia 2015) , Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai ada kemungkinan ada pendapatan tambahan jika pemilik sawah menjalankan tanaman giliran antara padi (musim utama) dengan tanaman jagung bijirin (Luar musim) sebagai satu informasi untuk dirujuk hasil dari penelitian awal yang telah dilakukan olehJabatan Pertanian.


Tanaman padi sawah lazimnya memerlukan sekitar 100-110 hari daripada menanam sehingga menuai. Bergantung kepada varieti padi yang ditanam, ia memerlukan air mencukupi dan pembajaan mengikut pakej penanaman padi yang disyorkan. Antara varieti padi yang luas ditanam di Malaysia masa kini adalah MR220CL dan beberapa varieti lain seperti MR219, MR263 dan sebagainya (Sila lihat foto disebelah). Bagi kawasan jelapang padi, selalunya padi ditanam 2 kali setahun iaitu tanaman padi Musim Utama dan tanaman padi Luar Musim. Bagaimana pun bagi kawasan luar jelapang, ada kawasan yang hanya boleh ditanam padi sekali atau semusim sahaja setahun. Kawasan ini boleh dimajukan dengan tanaman lain seperti tanaman kontan tembakau, jagung, keledek, kacang tanah, sayuran dan sebagainya. Kini dengan kempen galakkan menanam jagung bijirin oleh MOA melalui Jabatan Pertanian membolehkan negara boleh mengeluarkan sendiri bahan makanan untuk ternakan. Jagung bijirin keluaran tempatan yang masih segar adalah lebih berkualiti jika hendak dibandingkan dengan jagung bijirin yang diimport dari luar negara yang telah disimpan berbulan-bulan malahan ada yang telah bertahun. Selain itu beberapa 'byproduct' dari aktiviti tanaman jagung bijirin boleh dimenafaatkan untuk tujuan lain.


Jadual 1: Analisa ekonomi tanaman padi dan jagung bijirin
Analisa ekonomi penanaman padi digilirkan dengan tanaman jagung bijirin telah dianalisa oleh Jabatan Pertanian iaitu berdasarkan kepada cashflow dari petak percubaan yang dijalankan. Jadual 1 diatas menunjukkan purata pendapatan dari tanaman padi sekitar 4.5 mt sehektar yang dijual dengan harga RM1,200/tan dan harga subsidi RM1,350/tan dimana ini menjadikan jumlah pendapatan kasar dikira sebanyak RM5,670.00/hektar. Jika kos pengeluaran tanaman padi sebanyak RM3,000/ha ini menjadikan keuntungan bersih penanaman padi adalah RM2,670/ha atau dikira sebanyak RM667.00 sebulan untuk 4 bulan. Kiraan ini juga telah mengambil kira potongan padi sebanyak 20% menggunakan varieti yang disyorkan. Ini bermakna pesawah yang selalu menanam padi sekali setahun hanya memperolehi jumlah pendapatan yang terhad daripada sawahnya. Jika tidak ada harga subsidi padi agaknya berapakah untung bersih sebenar yang akan diterima oleh pesawah dengan kiraan diatas. Kalau mereka mengusahakan menanam jagung manis mungkin akan bertambah pendapatannya tetapi permintaan jagung manis adalah terhad jumlahnya. Jagung manis yang perlukan 60-70 hari sahaja untuk dituai teapi ia mempunyai potensi pasaran terhad untuk jualan segar sahaja atau diproses menjadi 'cup corn' atau produk lain seperti jagung mini atau jagung sayur dan sebagainya.


Penambahan pendapatan daripada tanaman jagung bijirin boleh dijana jika dilakukan dengan terancang. Jadual 1 diatas juga menunjukkan sebanyak 10 mt jagung bijirin (tidak termasuk berat tongkol) boleh dihasilkan berdasarkan hasil potensi jika dijaga dengan baik. Kos pengeluaran jagung bijirin adalah sekitar RM6,000 sehektar dan ia memakan masa selama 110-120 hari (4 bulan) sebelum tongkol jagung menjadi cukup tua dan sesuai dituai. Jika harga jagung bijirin sekitar RM1,000/mt (atau RM1.00 sekilogram) maka anggaran pendapatan kasar adalah sebanyak RM10,000/ha. Setelah ditolak kos pengeluaran maka anggaran pendapatan bersih adalah RM4,000/ha atau jika dikira jangka masa penanaman ia memberikan pendapatan bersih RM1,000/bulan (untuk 4 bulan). Mengambil kira kedua-dua pendapatan dari tanaman padi sebanyak RM667.00 sebulan (4 bulan) dan tanaman jagung bijirin sebanyak RM1,000 sebulan (juga untuk 4 bulan berikutnya) membolehkan petani menerima pendapatan tambahan untuk sara hidupnya. Pendapatan tambahan ini juga boleh ditambah dengan aktiviti memelihara haiwan ternakan seperti lembu dan kambing serta ayam kampong yang boleh diberi makan silaj atau jagung bijrin yang tidak boleh dijual (sub-grade atau rosak). Penulis percaya jika perkara ini dapat dilakukan akan menambah nilai hidup pesawah dan petani yang ingin mengusahakannya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada anda. Wasallam!!
TANAM PADI...SEKALI SETAHUN...
DICUBA PULA...JAGUNG BIJIRIN...
HASIL ADA... IMPORT DITURUN...
PETANI GEMBIRA...SELALU SENYUM..

M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Paya Selendang,
Bera, Pahang,
Malaysia.
(23 Ramadan 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...